Inovasi Kerepek Brownis Dapat Sambutan

0
415

Kegagalan memasarkan kek brownies kerana tidak mampu bertahan lama memberi idea kepada seorang usahawan wanita untuk melakukan inovasi terhadap resepi itu sehingga menghasilkan kerepek, dikenali sebagai kerepek bronis.

Nor Azila Mahmood, 32, yang mengusahakan kerepek bronis pada Oktober 2016 bermodalkan RM500 kini tidak menang tangan menerima tempahan terutama pada musim perayaan Aidilfitri.

Sambutan menggalakkan memaksa Nor Azila mengupah 32 pekerja bagi membantunya memenuhi permintaan pelanggan sehingga mencecah 50,000 bungkus dan bekas plastik.

Menurutnya, sebelum ini dia menjual kek brownies secara dalam talian namun gagal berikutan sifatnya yang tidak tahan lama.

“Kemudian saya mencari jalan untuk memanjangkan tempoh hayat kek brownies dengan menghasilkannya dalam bentuk kerepek.

“Pada masa sama saya membuat kajian kerana sasaran saya adalah golongan muda yang menjadi pengguna tegar di media sosial khususnya Facebook dan Instagram.

“Alhamdulillah pada hari pertama saya menjual secara dalam talian, sebanyak 60 balang kerepek yang saya jenamakan sebagai Bronis terjual dengan harga RM15.60 sebekas dan selepas sebulan jualan saya terus meningkat kepada 1,000 bekas,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan Komunikasi dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, selepas hampir dua tahun menjual kerepek bronis, hasil jualannya terus meningkat sehingga ke 25,000 bungkus dan bekas.

Katanya, sepanjang Ramadan tahun ini, dia sudah mendapat 1,500 tempahan setiap hari daripada 20 rakan kongsi strategik (stokis) membabitkan 500 ejen di seluruh negara.

“Saya juga akan memastikan pekerja dapat kerja bergilir kepada dua shif iaitu bermula jam 4 petang sehingga 1 pagi dan jam 1 pagi hingga 9 pagi di kilang saya di Jitra.

“Namun selepas Aidilfitri kilang saya akan kembali beroperasi seperti biasa,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini