Kuih tradisi tetap di hati

0
414

Kuih moden yang banyak dipasaran tidak menjejaskan perniagaan kuih tradisional, malah terus mendapat sambutan ramai setiap kali menjelang musim perayaan.

Pengusaha yakin pasaran untuk kuih tradisi tetap ada dengan permintaan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan keturunan.

Pengusaha kuih tradisi, Hamidah Sharif, 47, berkata sejak berniaga kuih tradisi 10 tahun lalu, permintaan setiap Ramadan dan Aidilfitri meningkat setiap tahun.

Beliau berkata, walaupun kewujudan biskut moden memenuhi pasaran, pilihan kuih tradisional menjadi permintaan.

“Permintaan menggalakkan untuk kuih seperti muruku, ros, gunting, siput, rempeyek dan dahlia menggalakkan. Kuih kacang, batang buruk dan kuih tiram atau lidah buaya juga tidak ketinggalan.

“Lebih menggembirakan pilihan kuih berkenaan mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Hamidah berkata demikian ketika ditemui di tapak jualan Warna Warni Aidilfitri di Kompleks Kraf Jalan Conlay di sini, semalam.

Beliau berkata, faktor harga memainkan peranan kerana kuih tradisi lebih murah berbanding biskut moden yang ada mencecah RM60 satu balang.

Kuih gunting pula katanya, dijual dengan harga RM15 satu balang dan muruku RM20. Harga mesra pengguna ini menjadikan kudapan tradisional terus menjadi pilihan.
“Setiap tahun perolehan jualan berbaloi. Permintaan tinggi daripada pelanggan sekitar kawasan perumahan di Kampung Cheras Baru selain tempahan daripada rakan taulan,” katanya.

Pengusaha biskut tradisi Ira Cookies, Nor Aznira Ramlan, 37, berkata lambakan biskut moden tidak mengurangkan tempahan kuih tradisional.

Hampir setiap tahun, beliau berkata permintaan meningkat walaupun ketika itu keadaan ekonomi tidak menentu.

“Kini apabila ekonomi sudah menampakkan tanda awal pemulihan, sambutan pelanggan sejak hari pertama jualan 1 Jun lalu, sungguh menggalakkan.

“Saya gembira kerana kuih tradisi tetap di hati anak muda dalam kalangan warga kota. Sambutan ini menjadikan saya sentiasa bersemangat untuk terus berniaga. Bangkit santan dan tart nanas antara jualan paling laris.

“Kuih tradisi tidak muak dan dinikmati dengan penuh berselera. Saya masih mengekalkan kemahiran membuat kuih tradisi supaya tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kaedah pembuatan kuih tradisi rumit namun kos bahan mentah lebih murah berbanding biskut moden dengan kos penyediaannya agak mahal.

Seorang pengusaha kek, Norhayati Yusof, 28, berkata, ini adalah kali pertama beliau mencuba menjual rempeyek kacang berbanding tahun sebelum ini, lebih tertumpu kepada jualan biskut dan kek.

Cubaan pertama ini katanya, begitu mencabar kerana kemahiran beliau sebelum ini hanyalah mengadun kek dan biskut.

“Banyak kali saya mencuba, namun selepas yakin mampu menghasilkan yang terbaik saya teruskan usaha menjual kuih tradisional ini. Kaedah menyediakannya memang rumit, namun hasilnya berbaloi.

“Saya mengharapkan cubaan ini adalah yang terbaik dalam usaha mewarisi kemahiran menghasilkan kuih tradisional yang semakin mendapat tempat,” katanya.

Seorang kakitangan agensi kerajaan, Noorafiza Ahmad, 43, berkata permintaan kuih tradisi masih ada, malah mendapat permintaan pelanggan pelbagai kaum.

“Walaupun di bandar besar, kuih seperti siput, dodol dan rempeyek mampu dijual pada harga berpatutan.

Namun, diharapkan penjual dapat mengekalkan rasanya dan tekstur kuih tradisi yang asli,” katanya.

Jom bersama mempertahankan kuih tradisi kita, jika bukan kita, siapa lagi kan?

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini