Penciptaan wang dan krisis sara hidup

0
291

Kemelut yang dihadapi pemandu teksi di Langkawi akibat kehadiran perkhidmatan e-hailing sebenarnya juga dialami oleh pemandu teksi di seluruh Malaysia. Sebelum ini, ramai daripada mereka menyangka kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak ikhlas untuk membantu mereka dan mengharapkan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dapat menyelesaikan masalah mereka.

Namun, selepas beberapa bulan kerajaan PH memerintah, mereka mendapati bahawa masalah mereka masih tidak selesai. Sementara itu, pendapatan mereka yang semakin menurun membuat mereka berasa sangat tertekan.

Adakah masalah ini hanya berlaku di Malaysia dan adakah akibat kerajaan PH tidak ikhlas untuk membantu mereka?

Berdasarkan beberapa laporan berita, masalah hampir sama berlaku kepada pemandu teksi di Jakarta, London dan New York akibat persaingan dengan perkhidmatan e-hailing seperti Uber.

Ini menunjukkan masalah yang dihadapi dalam industri teksi bukan akibat wujudnya kerajaan yang korup atau dasar kerajaan yang tidak adil di Malaysia. Ia akibat faktor lain dan masalah itu dihadapi oleh pemandu teksi di seluruh dunia.

Perlu disedari bahawa pendapatan pemandu e-hailing juga sebenarnya amat rendah. Sebab itulah ramai pemandu e-hailing juga dalam keadaan sengsara, sama dengan pemandu teksi kerana pendapatan mereka juga amat kurang.

Ramai pemandu e-hailing terpaksa membuat dua atau lebih kerja untuk menampung kehidupan mereka kerana upah yang diperoleh juga tidak cukup untuk menyara kehidupan.

Kenaikan kos sara hidup

Sebenarnya masalah pokok yang dihadapi ialah kenaikan kos sara hidup dengan pendapatan yang diterima tidak mampu untuk membayar atau menampung perbelanjaan harian.

Sebab itulah kesengsaraan kehidupan bukan sahaja dirasai oleh golongan pemandu teksi dan e-hailing, bahkan golongan pekerja lain seperti operator kilang, pembantu teknik, pelayan di restoran dan pengawal keselamatan yang berpendapatan rendah, iaitu termasuk dalam kategori B40 (40 peratus yang berpendapatan paling rendah dalam kalangan rakyat).

Oleh kerana operator kilang, pengawal keselamatan dan pelayan di restoran juga tidak mempunyai kesatuan sekerja yang kuat, mereka tidak mampu untuk mengadakan demonstrasi dan kita tidak menyedari kesengsaraan yang dihadapi mereka.

Kita perlu peka bahawa sebenarnya semua orang sedang sengsara akibat kos sara hidup yang meningkat, terutama golongan berpendapatan rendah yang tinggal di bandar besar. Inilah juga jadi punca utama jumlah gelandangan di Kuala Lumpur meningkat dari setahun ke setahun.

Hakikatnya ialah kerajaan tidak mampu menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup ini kerana ia akibat daripada sistem ekonomi dan kewangan yang sentiasa mencipta wang dalam jumlah yang sangat banyak setiap hari, berbanding output ekonomi sebenar.

Sebagai contoh, di Malaysia lebih RM7 bilion dicipta setiap bulan oleh sistem kewangan negara.

Ini bermakna sebanyak hampir RM90 bilion wang baharu dicipta dan dimasukkan ke dalam ekonomi negara setiap tahun.

Oleh sebab kadar kenaikan output dalam bentuk barangan dan perkhidmatan tidak dapat menyaingi kadar kenaikan jumlah mata wang, ringgit yang banyak inilah yang mengakibatkan harga barang dan perkhidmatan sentiasa meningkat setiap tahun.

Sistem cipta wang

Persoalan seterusnya ialah siapakah yang bertanggung jawab mencipta wang yang banyak itu?

Jawapannya ialah bank komersial yang beroperasi di negara kita yang mencipta lebih daripada 95 peratus daripada bekalan wang negara, sementara Bank Negara Malaysia mencipta selebihnya (dalam bentuk duit kertas dan syiling).

Bank komersial ini ‘mencipta’ wang baharu setiap kali mereka memberi hutang kepada pelanggan yang meminjam daripada mereka. Sebagai contoh, jumlah hutang isi rumah di Malaysia kepada bank komersial sekarang berjumlah lebih RM1 trilion.

Jika jumlah ini dicampurkan kepada jumlah hutang oleh pihak swasta (juga lebih dari RM1 trilion) dan kerajaan (kira-kira RM700 bilion jika tidak mengambil kira jaminan hutang), sudah tentu jumlahnya amat besar, iaitu hampir RM3 trilion.

Hutang terlalu banyak

Jelas bahawa punca utama kepada masalah rakyat sekarang dari aspek kos sara hidup ialah sistem ekonomi dan kewangan yang menggalakkan penciptaan wang yang banyak ekoran pertumbuhan jumlah hutang yang banyak.

Masalah ini juga berlaku di negara lain, terutama negara maju kerana sistem perbankan di negara maju lebih besar dan jumlah hutang yang dicipta juga lebih besar.

Rakyat mereka juga sengsara walaupun cara hidup mereka lebih moden.

Sekarang kita akan faham sebab rakyat di negara yang lebih moden, berbanding negara lain yang kurang maju menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup yang lebih teruk, berbanding di negara kurang maju.

Sebagai rumusan, masalah kesengsaraan kehidupan di negara kita tidak akan selesai selagi sistem kewangan yang menggalakkan pertumbuhan hutang masih wujud.

Trend atau kecenderungan rakyat yang gemar hidup dengan gaya mewah (seperti membeli kereta baharu, mengadakan majlis perkahwinan yang mewah, ubah suai rumah dan bercuti di luar negara) dengan menggunakan duit hutang daripada sistem perbankan akan membuat keadaan bertambah teruk pada masa depan kepada semua golongan, terutama yang berpendapatan rendah seperti pemandu teksi dan pekerja lain dalam kategori B40.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini