Terrapuri, tenangnya jika ada rumah atau homestay macam ni

0
375

Lambaian dedaun kelapa dan daun ru berguguran ditiup angin sepoi bahasa sambil disulami pancaran mentari pagi dan senja menyerlahkan keindahan alam semula jadi di Pantai Mangkuk, Setiu di Terengganu.

Biasan cahaya matahari daripada celahan daun kelapa yang meliuk-liuk ditiup bayu Laut China Selatan menciptakan keindahan alam yang sukar untuk dizahirkan.

Dengan kedamaian dan keindahan yang disajikan di Pantai Mangkuk ini, tidak hairanlah ia sering dikunjungi pelancong daripada dalam dan luar negara tanpa mengira masa.

Seawal pagi sewaktu embun jantan masih bersisa di hujung rumput, pengunjung boleh menyusuri Pantai Penarik sambil menyaksikan pepohon kelapa dan ru yang tumbuh subur menyajikan keindahan alam tidak ternilai untuk santapan mata.

Di sekitar kampung itu juga terdapat sungai dan paya bakau yang menjadi habitat kepada haiwan seperti tuntung dan kunang-kunang, tidak hairanlah Pantai Mangkuk dijadikan lokasi oleh penyelidik daripada luar negara seperti Amerika dan China untuk melakukan kajian.

Kedudukan Pantai Mangkuk yang terletak berhampiran Pantai Penarik mempunyai daya tarikannya tersendiri dan keindahan alam semula jadi pantai yang belum terusik dek projek pembangunan menjadikan ia antara lokasi yang perlu dilawati.

Seperti pantai lain yang menghampar di sepanjang persisiran pantai timur, Pantai Mangkuk dan Penarik menjanjikan ketenangan dengan pupukan lembut bayu laut.

Pantai Mangkuk juga kaya dengan khazanah tanah lembap seperti payau bakau dan nipah, manakala di hujung tanjung iaitu Kuala Baru terkenal dengan syurga bagi kaki pancing.

Keindahan alam di Pantai Mangkuk bukan saja menjadi buruan penerbit filem, malah menjadi lokasi kunjungan utama kaum kerabat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pengunjung juga boleh menikmati keunikan suasana matahari terbit dan terbenam di pantai Mangkuk.

Selain keindahan alam semula jadi di Pantai Mangkuk, pengunjung juga boleh ke Kampung Gong Batu, yang jarak perjalanannya hanya setengah jam untuk melihat aktiviti ternakan ikan dalam sangkar diusahakan nelayan.

Pengunjung yang mengunjungi Pantai Mangkuk juga tidak perlu risau untuk makan dan minum kerana di sepanjang jalan ke lokasi tarikan pelancongan itu terdapat gerai menjual pelbagai masakan panas.

Di sepanjang jalan ke Pantai Mangkuk juga terdapat banyak gerai menjual Ikan Celup Tepung (ICT) sekiranya ingin menikmati kesegaran hasil tangkapan daripada laut.

Pengunjung boleh singgah menikmati pelbagai hasil laut segar seperti ikan, sotong, ketam dan udang yang dicelup tepung, selain merasai kesegaran air kelapa muda dengan harga yang berpatutan.

Rumah tradisional dipulih dan dipelihara 

Selain menikmati keindahan alam semula, tarikan lain yang terdapat di Pantai Mangkuk ialah resort yang menempatkan rumah Melayu tradisional Terengganu.

Rumah tradisional Melayu Terengganu itu dibawa dari kampung tradisi Terengganu iaitu Kampung Paloh, Manir, Losong dan dinamakan mengikut tempat asal rumah itu diambil.

Resort yang mengandungi 29 rumah dan diilhamkan daripada seni bina Melayu dari abad ke-17 itu dinamakan Terrapuri Heritage Village.

Terrapuri yang bermaksud The Land of Palace atau Tanah Istana adalah projek pemeliharaan dan pemuliharaan rumah Terengganu Melayu klasik.

Sebanyak 29 rumah yang dijadikan resort itu mempunyai ciri antik dan klasik berusia ratusan tahun dipelihara dan disusun atur dengan sebaik-baiknya.

Terrapuri dan kawasan persekitarannya diilhamkan daripada Istana Terengganu pada abad ke-17 dan ia terdiri daripada 20 vila eksklusif yang dipulih dan dijadikan spa, restoran mewah berkonsepkan tradisional Melayu, villa beristirehat, galeri serta rumah pantai.

Lokasi Terrapuri amat unik kerana ia diapit oleh Laut China Selatan dan sungai berpaya bakau, Setiu Wetland.

Rumah Terengganu Klasik mempunyai serambi iaitu ciri sama dengan rumah tradisional di Kemboja dan Thailand.

Semua rumah itu masih mengekalkan ciri asal dengan menggunakan sepenuhnya kayu cengal.

Bagi bahagian dinding, pintu dan tingkap pula terdiri daripada panel kayu berasingan dan dipasang menggunakan sendi kayu yang dipasak daripada kayu penaga.

Uniknya kediaman itu apabila paku tidak digunakan dan keseluruhan struktur boleh diambil secara berasingan untuk dipasang semula.

Jika ingin melihat rumah Terengganu klasik dan mendalami kisahnya, boleh ke Terrapuri Heritage Village kerana ia adalah satu-satunya projek pemulihan dan pemuliharaan rumah Terengganu klasik yang masih mengekalkan budaya, simbol serta nilai sejarah.

Bagi pengunjung yang pertama kali memilih untuk menginap di Terrapuri Heritage Village, jangan terkejut jika tiada televisyen, telefon dan radio disediakan.

Kawasan Terrapuri Heritage Village seluas kira-kira empat hektar yang terletak di pinggir Pantai Mangkuk dihiasi dengan keindahan pandangan laut dan pulau serta landskap tumbuhan tempatan termasuk cermai dan belinja, selain dihiasi peralatan tradisional seperti perahu, baloh, lesung batu dan tempayan.

Terrapuri Heritage Village sering mendapat liputan daripada media asing seperti Discovery Channel dan Amazing Race serta dipilih sebagai lokasi penggambaran filem Merong Mahawangsa.

Nama dari mangkuk ajaib 

Nama kampung mangkuk dikaitkan dengan seorang pengembara yang menggunakan perahu jalur untuk menyusuri Sungai Setiu kerana ketika itu hanya terdapat dua jalan pilihan untuk berpindah iaitu menggunakan jalan darat dan air.

Berita mengenai keganasan buaya di Sungai Setiu sering diperkatakan penduduk setempat tetapi tidak menjadi halangan pengembara untuk menyeberanginya.

Selepas beberapa hari mendayung, pengembara terasa haus tetapi dia tidak membawa bekalan air kerana air tawar mudah diperoleh daripada sungai, namun pengembara itu sukar mengambil air kerana ketiadaan penceduk.

Pengembara itu cuba menggunakan kedua tangan untuk mengambil air, tetapi dibayangi perasaan cemas apabila teringatkan keganasan buaya yang akan menyerang seseorang dengan menyambar mangsa.

Ketika melayari perasaan cemas dan takut, pengembara itu ternampak mangkuk yang terapung apung di atas permukaan air menyebabkan dia mendayung terus ke arah Mangkuk itu.

Keajaiban berlaku apabila mangkuk itu ghaib daripada pandangan pengembara sebaik menghampiri alur yang cetek dan sempit.

Pengembara itu sangat gembira selepas minum sepuasnya dan mengambil keputusan membawa ahli keluarganya untuk tinggal di kampung berkenaan.

Apabila isterinya menanyakan apakah nama kampung, pengembara itu menjawab “mangkuk” dan nama berkenaan kekal sehingga kini.

.

.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini